15 APR: Korea Selatan hari ini memutuskan untuk menarik balik semua peraturan penjarakan fizikal bermula minggu depan, kecuali pemakaian wajib pelitup muka, susulan wabak COVID-19 yang dikatakan memuncak bulan lalu.
Perdana Menteri, Kim Boo-kyum, memberitahu mesyuarat menangani pandemik bahawa perintah penutupan perniagaan pada tengah malam dan had 10 orang untuk perhimpunan persendirian akan ditamatkan mulai Isnin depan, lapor Xinhua.
Had 299 orang untuk acara dan perhimpunan serta had kapasiti 70 peratus untuk aktiviti keagamaan akan ditarik balik mulai 18 April.
Sementara itu, makan di dalam panggung wayang, kemudahan sukan tertutup dan kemudahan keagamaan akan dibenarkan mulai 25 April.
Boo-kyum berkata pemakaian pelitup muka di dalam bangunan masih perlu, namun menyebut bahawa keputusan akan dibuat sama ada mahu menarik balik arahan pemakaiannya di kawasan terbuka dalam dua minggu lagi.
Terkini, negara itu melaporkan 125,846 kes COVID-19 baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Angka kes harian turun daripada 148,443 pada hari sebelumnya dan jauh lebih rendah berbanding 205,312 kes pada minggu lalu. – BERNAMA