15 APR : PAS menyambut baik keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan berharap agar beliau dapat meneruskan agenda perpaduan yang dipeloporinya.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata, agenda perpaduan yang dibawa beliau terbukti berjaya mewujudkan kestabilan dan iklim politik yang baik serta harmoni di negara ini.
“Pendekatan ini pastinya akan terus disokong semua pihak atas dasar bipartisan demi kebaikan negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Selain daripada keputusan sebulat suara memutuskan untuk Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri pada PRU-15, MKT UMNO turut memutuskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai depan tidak akan diteruskan lagi.
Selain itu, UMNO juga berpendirian, pembentangan Akta Antilompat Parti perlu diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak.
Takiyuddin berkata, PAS yakin MoU berkenaan yang secara umumnya terpakai sehingga pembubaran Parlimen akan terus membantu proses pemulihan negara di bawah kepemimpinan Ismail Sabri dalam semua aspek termasuk kesihatan, ekonomi, sosial dan kehidupan rakyat.