16 APR: Sebanyak 5.3 juta permohonan membabitkan pengeluaran RM40.1 bilion diterima Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi Pengeluaran Khas yang sejak dibuka pada 1 April hingga Khamis lalu.
KWSP memaklumkan jumlah permohonan itu merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang layak membuat pengeluaran dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat mulai Rabu depan.
“Ia membabitkan 55 peratus ahli B40 yang layak (berpendapatan kurang daripada RM1,700); 59 peratus ahli M40 (RM1,701 – RM4,900), dan 39 peratus ahli T20 (berpendapatan melebihi RM4,900) manakala sebanyak 29 peratus ahli tidak formal dan tidak aktif turut mengemukakan permohonan.
“Kaum Bumiputera Melayu merangkumi jumlah pemohon tertinggi iaitu sebanyak 65 peratus, diikuti Cina (12 peratus), India (tujuh peratus) manakala 17 peratus lagi terdiri daripada Bumiputera Sabah dan Sarawak serta bukan warganegara.
“Berdasarkan maklum balas daripada ahli yang memohon kemudahan ini, tiga sebab utama permohonan dibuat iaitu mengalami pengurangan pendapatan (24 peratus), membantu pasangan atau ahli keluarga yang terjejas kewangan (23 peratus, dan menambah sumber kewangan (14 peratus).
“Manakala tujuan pengeluaran bagi menampung perbelanjaan keperluan asas harian dan bulanan (40 peratus), membayar tunggakan hutang (26 peratus), menambah simpanan dan dana kecemasan (8 peratus) dan membantu ahli keluarga yang terjejas kewangan (tujuh peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, KWSP menegaskan, bahawa setiap aspek keselamatan sudah diambil bagi mengelakkan pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab atau ‘scammers’ daripada membuat permohonan palsu dan menjejaskan simpanan ahli.
Justeru, setiap ahli dinasihatkan supaya tidak berkongsi gambar atau dokumen berkaitan Pengeluaran Khas mereka di platform media sosial dan berhati-hati apabila mengeluarkan wang bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
“KWSP mengingatkan ahli untuk mempertimbangkan ketersediaan pendapatan jangka panjang mereka dan hanya mengeluarkan simpanan mereka sekiranya benar-benar perlu serta membelanjakan wang mereka dengan bijak untuk tujuan yang sesuai,” katanya.
Tarikh tutup untuk kemudahan Pengeluaran Khas adalah pada 30 April 2022 dan ahli boleh memohon melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.