16 APR: Seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia lima tahun dipercayai hilang di hutan Kampung Malawa, Jalan Sepanggar di Kota Kinabalu, Sabah semalam.
Mangsa Jayden Gabriel Peter dilaporkan hilang di hutan berkenaan kira-kira 3 petang semalam dan menurut saksi kali terakhir mangsa dalam keadaan tidak berbaju dan seluar.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 6.03 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas dikerah ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi pencarian sedang dijalankan bersama pasukan polis dan orang kampung di kawasan belakang rumah mangsa dan sepanjang sungai berhampiran.
“Setakat ini, kanak-kanak terbabit belum ditemui dan pos kawalan diwujudkan di lokasi kejadian,” katanya hari ini.