16 APR: Malaysia mengutuk serangan tentera penjajah Israel ke atas penduduk dan jemaah Palestin di Masjid Al-Aqsa, semalam, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri menegaskan Malaysia meminta masyarakat antarabangsa memperbaharui tekad bagi mencari penyelesaian terhadap konflik berpanjangan Israel-Palestin.
“Serangan ke atas salah sebuah masjid paling suci bagi umat Islam dan dalam Ramadan mulia ini menunjukkan keganasan berlanjutan dan dasar aparteid diamalkan tentera penjajah Israel terhadap hak asasi, kehidupan, kesejahteraan serta maruah rakyat Palestin.
“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa bagi mencari keamanan dan keadilan bagi rakyat Palestin selain kemakmuran di rantau Asia Barat.
“Pada masa sama, Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka bagi mendapatkan kemerdekaan daripada pendudukan haram Israel, merealisasikan aspirasi menubuhkan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra 1967, dan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kira-kira 150 rakyat Palestin dilaporkan cedera, manakala ratusan lagi ditahan susulan serbuan tentera Israel di pekarangan Masjid Al-Aqsa, semalam.
Rakyat Palestin mengadakan protes selepas serangan itu dan menyeru negara Islam melindungi Al-Aqsa.