16 APR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 16 kes kematian dan 9,673 kes COVID-19 yang membabitkan 9,648 penularan tempatan dan 25 kes import semalam.
KKM menerusi perincian dikeluarkan GitHub menyatakan daripada jumlah kematian itu, lima diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital (BID).
Jumlah kumulatif kematian kini mencecah angka 35,397.
Perak mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu lima kes, diikuti Pahang, Pulau Pinang dan Selangor masing-masing dua kes serta Johor, Perlis, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur masing-masing satu kes.
Tiada kes kematian dilaporkan di Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 113,175 kes aktif dilaporkan, termasuk 152 yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 87 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 14,267 kes sembuh turut dilaporkan.
Jumlah kumulatif kes COVID-19 direkodkan di negara ini kini mencecah angka 4,372,697.