17 APR : Pertempuran berlaku ketika perarakan agama Hindu di New Delhi semalam mengakibatkan beberapa orang cedera termasuk anggota polis, selepas insiden keganasan turut berkait dengan agama berlaku di tiga negeri sebelum itu.
Keganasan tercetus di antara orang Islam dan Hindu ketika perarakan bersempena perayaan Hindu, Hanuman Jayanti, di Jahangirpuri, pinggir bandar New Delh, dan setakat ini pihak berkuasa itu masih menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.
Semalam, penunjuk perasaan di New Delhi melaungkan slogan terhadap kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Narendra Modi dengan menyatakan umat Islam menjadi sasaran keganasan oleh pihak berkuasa selepas pertempuran Hindu-Muslim di beberapa bahagian membabitkan tiga negeri yang diperintah oleh parti nasionalis Hindu Modi.
Pertempuran pada Ahad lalu ketika perayaan agama mendorong polis mengenakan perintah berkurung di sebuah bandar dan mengharamkan perhimpunan lebih daripada empat orang di beberapa bahagian negeri.
Pihak berkuasa tempatan merobohkan rumah dan kedai yang disyaki milik perusuh Islam di tengah negeri Madhya Pradesh selepas keganasan yang tercetus ketika festival Hindu, Ram Navami, menurut seorang pegawai polis yang enggan namanya didedahkan.
Ahli politik pembangkang menuduh parti nasionalis Hindu yang juga sayap kanan Modi, Bharatiya Janata Party (BJP) mencetuskan ketegangan di antara majoriti Hindu dan Muslim di negeri yang diperintah.