17 APR : Seramai 12 orang cedera dengan 10 daripadanya terkena tembakan dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Columbia, Carolina Selatan, di mana pihak polis telahpun menahan tiga individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
Kejadian tembakan di pusat beli-belah Columbiana itu dipercayai bukan tindakan keganasan rambang, sebaliknya berpunca daripada konflik dalam kalangan sekumpulan individu bersenjata yang mengenali antara satu sama lain, jelas Ketua Polis Columbia, William Holbrook kepada media.
Media tempatan melaporkan, terdapat ramai anggota polis di pusat beli-belah yang terletak kira-kira 10 batu di utara pusat bandar Columbia itu.
Tiada yang terkorban dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 petang waktu tempatan, bagaimanapun 10 individu terkena tembakan dan lapan daripada mereka di hantar ke hospital berhampiran.
Daripada jumlah itu, dua dilaporkan dalam keadaan kritikal, manakala enam lagi stabil, kata Holbrook pada taklimat berita beberapa jam kemudian.
“Mangsa tembakan berusia antara 15 hingga 73 tahun. Dua lagi cedera dalam rempuhan orang ramai yang berlari untuk menyelamatkan diri,” katanya.