17 APR : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 9,705 lagi kes positif baharu COVID-19 setakat tengah malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,382,402 kes jangkitan di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kes jangkitan baharu itu, kategori satu mencatatkan peratusan 47.95 manakala kes dua mencatatkan 51.55 peratus.
“Kategori tiga, empat dan lima kekal di bawah satu peratus. Bagaimanapun, daripada jumlah jangkitan baharu dicatatkan itu, sebanyak 9,675 kes membabitkan penularan tempatan manakala 30 kes adalah kes import.
“Sementara itu kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula sebanyak 134 kes dan kes memerlukan bantuan pernafasan adalah sebanyak 81 kes,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun menurut Dr Noor Hisham, semalam saja sebanyak 14,346 kes sembuh dicatatkan, menjadikan jumlah kumulatif yang berjaya sembuh ialah 4,238,471 atau 96.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.