17 APR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni warga Bera dengan menyampaikan sumbangan sempena program Jelajah Semarak Ramadan di Masjid Takwa FELDA Tembangau 2 di Bera, hari ini.
Pada program dua hari yang bermula semalam itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada 134 penerima membabitkan golongan memerlukan yang menetap di FELDA Tembangau 1 dan 2 sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
Ahli Parlimen Bera itu turut meluangkan masa bertanya khabar penerima bantuan, selain menasihati mereka menjaga kesihatan dan sentiasa mengenakan pelitup muka sebagai langkah mengekang jangkitan COVID-19.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Terdahulu, beliau turut berkunjung ke Masjid Ladang Triang 2 dan Masjid FELDA Tembangau 6 dan 8 serta menyampaikan sumbangan kepada 586 individu membabitkan golongan asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.
Selain itu, beliau juga dijadualkan menyampaikan sumbangan di Masjid FELDA Tembangau 3 dan di lokasi terakhir iaitu di Masjid Kuala Triang, di sini yang majlis berbuka puasa turut diadakan.
Semalam, pada program sama, Ismail Sabri menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Petronas kepada 2,013 penerima bagi membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan raya. – BERNAMA