17 APR : Munah Hassan, 80, dari Kampung Medang Gatal, Beseri, Perlis, berterima kasih kepada Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin serta isteri, Datin Nooraine Ahmad, yang kerap menziarah serta menghulurkan bantuan kepadanya.
Menurut Munah, pasangan suami isteri itu akan singgah di rumahnya apabila mereka ada program di sini untuk bertanya khabar, selain menghulurkan bantuan setiap bulan.
Sementara itu, menurut Nooraine, kehadiran beliau bersama suami, Zahidi, selain menghulurkan bantuan juga menyerahkan zakat yang dilakukannya setiap tahun.
“Kehadiran kami berdua sentiasa dialu-alukan oleh Munah dan anaknya, Murni. Malah kami selesa apabila berkunjung ke rumah mereka,” katanya.
Munah tinggal berdua bersama seorang anaknya, Murni Mat, 60, yang cacat seluruh anggota badannya sejak lahir dan terdapat ketumbuhan pada muka serta bahagian badannya semenjak kematian suaminya puluhan tahun dulu.
Sejak dilahirkan, Munah akan menjaga, memandi serta menyuapkan susu serta makanan kepada Murni yang hanya mampu terlantar serta terbaring.
Selain daripada Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga merupakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Beseri, Ruzaini Rais juga kerap menziarah serta menghulurkan bantuan kepada warga emas itu.
Ruzaini berkata, pihaknya sentiasa memantau keperluan Munah dan anaknya bagi memastikan mereka memiliki setiap keperluan.- AMIR SARIFUDIN