31,000 usahawan terima agihan peruntukan RM200 juta SPIM
18 APR : Seramai 31,000 usahawan telah menerima agihan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) yang dibuka kepada usahawan sejak 1 Januari lalu.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar, berharap bantuan pembiayaan yang disalurkan menerusi TEKUN Nasional itu dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh usahawan yang menjalankan perniagaan.
“Buat masa ni agihan peruntukan itu sudah selesai dan kita akan cuba merayu pada pihak Kementerian Kewangan untuk tambah lagi jumlah pembiayaan, jika diperlukan. Pinjaman ini diberikan sehingga maksimum RM10,000 tanpa caj keuntungan serta moratorium selama 12 bulan dan kita harapkan usahawan yang terbabit dapat membayar balik pinjaman dalam masa ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kota Bahru hari ini.
SPIM ialah skim bagi membantu usahawan informal dan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan bencana banjir.
Terdahulu, Noh hadir menyampaikan geran khas bantuan banjir kepada 1,677 usahawan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional di Kelantan yang membabitkan peruntukan sebanyak RM5.031 juta.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Kewangan AIM, Norsharizal Mashahrin.
Noh berkata, geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM50 juta kerajaan kepada usahawan mikro yang terjejas akibat banjir besar yang melanda negara pada Disember tahun lalu dan kali kedua bencana alam itu menyusul ke tiga negeri Pantai Timur.
“Kita menerimalebih daripada 16,000 permohonan untuk BBKM dan setiap usahawan yang terpilih menerima RM3,000 untuk membantu memulihkan perniagaan mereka.
“Bantuan ini membuktikan kerajaan bersungguh dalam usaha membantu golongan usahawan kecil ini selain menghargai sumbangan peniaga kecil terutama yang menjalankan perniagaan di tepi jalan dalam merancakkan pembangunan semula ekonomi negara,” katanya.