18 APR: Bekas Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Majlis serah terima tugas antara Mohd Azman dan Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Anta disaksikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
Mohd Azman dalam ucapannya berkata, pelantikannya itu adalah satu mandat serta penghormatan terbesar bagi dirinya yang diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani untuk berkhidmat di Sarawak.
“Saya banyak terlibat dengan pencegahan jenayah, namun dengan kepercayaan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara untuk menggalas tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak akan saya pikul dan laksana dengan sebaik mungkin.
“Saya juga memohon sokongan daripada barisan kepimpinan kontinjen Sarawak serta warga PDRM untuk terus memberikan mandat yang terbaik kepada masyrakat dan negara,” katanya.
Sementara itu Hazani pula berkata, beliau percaya dengan kemampuan serta karisma kepimpinan yang dimiliki Mohd Azman selain pengalamannya sebagai pegawai cawangan siasatan jenayah, yang akan terus membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada masyarakat di Sarawak. – BERNAMA