18 APR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan tuduhan beliau dan UMNO sengaja menghasut rakyat berhubung isu pengeluaran khas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Presiden UMNO itu berkata, adalah tidak benar pengeluaran kemudahan pengeluaran khas RM10,000 akan menjejaskan strategi pelaburan KWSP.
“Apa yang pasti ramai akan mendapat manfaat di sebalik pengeluaran itu termasuk mereka yang mungkin gigih mentohmah UMNO dan saya sebelum ini,” katanya di Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pencarum akan mendapat manfaat selain tempias positif kepada peniaga hasil pertambahan aliran tunai dalam pasaran.
“Tentunya pengeluaran khas wang simpanan KWSP lebih bermakna tatkala umat Islam akan menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Beliau juga bersyukur kerana pengeluaran khas wang simpanan KWSP untuk mereka yang telah diluluskan permohonan dipercepatkan daripada 20 kepada 18 April hari ini.
“Terima kasih kepada yang memberi dan meluluskan pengeluaran khas wang simpanan KWSP milik saudara dan saudari ini.
“Selepas dibenarkan kini disegerakan maka terbuktilah KWSP sememangnya mempunyai kemampuan untuk membenarkan permintaan rakyat,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua yang bersama mendesak Kementerian Kewangan supaya membenarkan pengeluaran itu sebelum ini.
“Saranan ini mungkin tidak populis namun beringatlah desakan pengeluaran khas wang simpanan KWSP sedari awal bukan bertujuan memewahkan sambutan perayaan.
“Sebaliknya untuk membantu mengurangkan bebanan rakyat yang masih bergelut dengan impak buruk pandemik COVID-19,” katanya.
Ahmad Zahid bagaimanapun mengingatkan pencarum supaya menggunakan wang KWSP itu sebaik mungkin untuk bangkit dan keluar daripada kesulitan yang sedang dihadapi.