18 APR: Bank Simpanan Nasional (BSN) membuka permohonan skim pembiayaan mikro di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) hari ini.
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil dalam satu kenyataan berkata, Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga adalah pembiayaan yang diperuntukkan di bawah Bajet 2022 dengan dana berjumlah RM800 juta.
Katanya, ia bagi membantu rakyat Malaysia secara berterusan terutama perusahaan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) kembali pulih akibat pandemik COVID-19.
“BSN menggalakkan usahawan mikro di luar sana untuk mendapatkan Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga bagi membantu menjana pendapatan, sekali gus mengembalikan keupayaan serta daya tahan perniagaan mereka.
“Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web BSN, mengunjungi Cawangan BSN atau Pusat Mikro Kewangan BSN berhampiran dengan mengemukakan dokumen yang diperlukan,” katanya.
Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga adalah kesinambungan daripada beberapa kemudahan terdahulu yang menyaksikan BSN telah membantu lebih 50,000 pelanggan dengan jumlah pembiayaan bernilai RM1.4 bilion.
Ia menawarkan jumlah pembiayaan sehingga RM75,000 pada kadar empat peratus (kadar asas tetap) untuk tempoh pembiayaan sehingga 5.5 tahun termasuk moratorium (rehat bayaran) bagi enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan.
Melalui skim itu, perusahaan mikro dalam semua jenis sektor perniagaan yang telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan boleh memohon pembiayaan sama ada bagi tujuan modal kerja atau pembelian aset untuk kegunaan perniagaan.
Namun, bagi Skim Pembiayaan BSN Micro/i Semarak Mula, perniagaan mestilah beroperasi sekurang-kurangnya tiga bulan.
Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga menawarkan tujuh pilihan pembiayaan iaitu BSN Micro/i Semarak Mula, khusus kepada individu yang telah kehilangan pekerjaan, graduan universiti atau vokasional yang ingin memulakan perniagaan; BSN Micro/i Semarak PEDi kepada peserta yang berdaftar dengan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang menceburi bidang perniagaan terutama bagi mereka di kawasan luar bandar dan BSN Micro/i Semarak Tani bagi pengusaha perniagaan tradisional seperti kraftangan dan berasaskan pertanian, pasar malam atau pasar tani.
Seterusnya, BSN Micro/i Semarak Sukan untuk perusahaan mikro yang dimiliki oleh pengusaha fasiliti sukan; BSN Micro/i Semarak Nita bagi perusahaan mikro dimiliki oleh usahawan wanita yang berkecimpung dalam bidang perniagaan; BSN Micro/i Semarak Belia untuk perusahaan mikro yang dimiliki oleh usahawan belia berusia 30 tahun dan ke bawah dan BSN Micro/i Semarak pula terbuka kepada semua perusahaan mikro yang layak dalam semua sektor perniagaan.