19 APR: Seramai 11 pelajar lelaki sebuah sekolah berasrama di Kuala Nerus direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pukul Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 14 hingga 17 tahun itu ditahan ketika hadir untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu jam 12 tengah hari hingga 1 petang semalam.
Menurutnya, penahanan suspek susulan laporan polis dibuat oleh mangsa bersama keluarganya di IPD Kuala Terengganu sekitar jam 9.40 malam pada Ahad.
“Mangsa telah menghubungi ibunya untuk datang ke asrama dan membawanya pulang ke rumah sebelum mendedahkan kejadian yang berlaku.
“Hasil siasatan mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan hanya mengalami lebam pada kedua-dua belah paha. Mangsa juga telah dihantar untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kes tersebut dipercayai berlaku akibat perselisihan faham.
“Mangsa dipercayai dipanggil oleh suspek yang merupakan rakan satu asrama untuk ke tingkat satu sebelum berlaku perselisihan faham menyebabkan mangsa dipukul serta disepak oleh suspek,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.