19 APR : Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mendapati harga tambang penerbangan sehala kelas ekonomi bagi tempoh penerbangan menunjukkan penurunan pada 27 April hingga 8 Mei (tempoh pemerhatian) adalah antara RM105 hingga RM1,398.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, penurunan harga tiket penerbangan kelas ekonomi sehala ke kebanyakan destinasi dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh penerbangan musim perayaan Aidilfitri.
“Daripada julat harga tambang tersebut, majoriti harga tiket penerbangan tersedia untuk pembelian bagi semua laluan ekonomi sehala ke Sabah dan Sarawak pada tempoh yang dipantau hanyalah antara RM300 ke RM500,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Ka Siong lagi, keadaan itu berbeza sebelum dan pada 14 April lalu di mana julat harga tambang penerbangan sehala bagi kelas ekonomi untuk tempoh pemerhatian adalah antara RM105 hingga RM2,084.
Katanya lagi, bagi tempoh puncak pula, harga tambang sehala kelas ekonomi adalah antara RM195 hingga RM2,084.
“Daripada julat harga tambang tersebut, majoriti harga tiket penerbangan ekonomi sehala adalah antara RM700 ke RM1,200,” jelas beliau.
Jelas beliau, perkembangan itu selepas mengadakan perbincangan dan mendapat kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi hasil tindakan proaktif Kementerian Pengangkutan bersama-sama dengan MAVCOM dan syarikat-syarikat penerbangan domestik.
“Sesungguhnya ini merupakan berita yang amat menggembirakan kepada ahli Keluarga Malaysia yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak memandangkan harga tiket penerbangan telah turun dengan jumlah yang ketara.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada MAVCOM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan syarikat-syarikat penerbangan domestik di atas bekerjasama rapat bagi mencapai persepakatan ini,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Ka Siong memaklumkan analisis lanjut menunjukkan bahawa dakwaan harga tambang lebih RM3,000 bagi tiket penerbangan kelas ekonomi sehala seperti dilaporkan media baru-baru ini sebenarnya melibatkan laluan udara dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah dengan satu hentian di Kuching, Sarawak.
“Sehubungan itu, saya menggesa pengguna mengambil kesempatan ini dan merancang perjalanan mereka membeli tiket penerbangan segera bagi mendapat manfaat daripada tambang penerbangan yang berkemungkinan lebih rendah serta tawaran penerbangan lebih baik,” katanya.