19 APR: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah bertitah sebarang kurniaan daripada Istana Johor tidak sepatutnya disalahgunakan untuk meraih populariti di media sosial.
Baginda bertitah satu laporan polis akan dibuat untuk menyiasat sama ada wujudnya elemen salah guna ataupun menyamar sebagai pegawai kerajaan Johor.
Kenyataan baginda merujuk kepada akaun ‘shafeqyahya’ di TikTok yang menayang beberapa hadiah kurniaan daripada Istana Bukit Serene, Johor Bahru dan menafikan mengenali individu pemilik akaun itu.
“Saya tahu hadiah-hadiah itu dan ia sebenarnya hadiah kurniaan kepada sesetengah pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Johor sebagai penghargaan ikhlas atas perkhidmatan mereka.
“Saya tidak mengenali siapa ‘shafeqyahya’ ini dan saya mengesyaki hadiah-hadiah itu disalahgunakan untuk meraih ikutan dan populariti di media sosial, seolah-olah mempunyai hubungan yang rapat dengan Keluarga DiRaja Johor,” titah baginda dalam Facebook, The Royal Johor.
Dalam beberapa video TikTok yang dikongsikan pemilik akaun itu memaparkan beberapa kurniaan dari Istana Johor seperti loket rantai, syiling berwarna emas, set pen dan tasbih dan samping raya.