19 APR: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) semalam, membatalkan arahan pemakaian pelitup muka untuk pengangkutan awam susulan pandemik COVID-19.
Hakim Daerah AS, Kathryn Kimball Mizelle di tengah Florida berkata, arahan pemakaian pelitup muka yang dikuatkuasakan oleh pentadbiran Presiden Joe Biden melebihi kuasa berkanun Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Baru-baru ini, arahan pemakaian pelitup muka ketika menaiki kapal terbang, kereta api bawah tanah, kereta api, bas, teksi dan lain-lain pengangkutan awam dilanjutkan oleh CDC sehingga 3 Mei depan susulan peningkatan kes COVID-19.
Syarikat penerbangan AS dan beberapa penggubal undang-undang parti Republikan menggesa supaya arahan pemakaian pelitup muka yang dikeluarkan oleh CDC pada 3 Februari 2021, iaitu sebaik Biden memegang jawatan presiden ditamatkan.
Bertitik tolak daripada keputusan itu, seorang pegawai pentadbiran berkata, Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) yang menjaga aspek keselamatan di lapangan terbang tidak akan menguatkuasakan arahan ‘mewajibkan pemakaian pelitup muka di hab pengangkutan awam dan pengangkutan pada masa ini’.
Mizelle yang dilantik sebagai hakim ketika pentadbiran bekas presiden Republikan, Donald Trump, mengumumkan keputusannya dalam tuntutan mahkamah yang difailkan pada Julai 2021 oleh organisasi konservatif bukan berorientasikan keuntungan dipanggil Dana Pertahanan Kebebasan Kesihatan dan dua orang plaintif.
“Disebabkan sistem kami tidak membenarkan mana-mana agensi bertindak secara tidak sah walaupun dalam usaha mencapai matlamat yang diingini, mahkamah mengisytiharkan ia menyalahi undang-undang dan membatalkan arahan pemakaian pelitup muka,” katanya dalam keputusan setebal 59 muka surat.
Sementara itu, setiausaha akhbar Rumah Putih, Jen Psaki menyifatkan keputusan berkenaan sebagai ‘mengecewakan’. – AFP