19 APR : Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah memperaku mana-mana produk atau makanan yang boleh menggantikan ubatan termasuk insulin untuk merawat diabetes dan mengawal gula dalam darah.
Perkara itu dimaklumkan KKM menerusi kenyataan di Facebook hari ini bagi menjelaskan tindakan sebuah laman media sosial, Myspringshop-US yang cuba mengelirukan orang ramai dengan mendakwa penjualan produk teh mereka diiktiraf oleh kementerian berkenaan.
“Gambar yang digunakan adalah gambar yang sudah diubah suai daripada gambar asal,” menurut kenyataan itu yang turut menyertakan gambar asal.
KKM juga menggesa masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan kenyataan yang tidak diketahui kesahihannya serta mahu pengusaha atau pemilik produk lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan ke atas orang ramai. – BERNAMA