19 APR : Tiga letupan menggegarkan sebuah sekolah menengah di barat Kabul, Afghanistan dan turut mengakibatkan enam orang terbunuh dan 11 lagi cedera.
Jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran, memberitahu AFP bahawa letupan di sekolah Abdul Rahim Shahid itu berlaku akibat bahan letupan buatan sendiri, menyebabkan enam maut dan 11 cedera.
“Ini hanya angka awal dan kami masih berada di lokasi untuk mendapatkan perkembangan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, letupan ketiga dilaporkan di sebuah pusat bahasa Inggeris di kawasan sama tetapi tidak dapat dipastikan apa jenis letupan digunakan.
Perkara itu dimaklumkan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Afghanistan yang turut memberitahu kebanyakan penduduk di kejiranan itu adalah dari komuniti Syiah Hazara
Katanya, etnik dan agama minoriti itu sering menjadi sasaran kumpulan pengganas Sunni di negara itu.
Jurucakap Komander Kabul, Khalid Zadran, berkata tiga letupan berlaku di sebuah sekolah menengah dan beberapa mangsa yang terkorban disahkan sebagai bermazhab Syiah.
Menurut seorang ketua jururawat hospital yang enggan dikenali, sekurang-kurangnya empat terbunuh dan 14 yang lain cedera dalam letupan itu.
Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.
Pihak Taliban berkata sejak mengambil alih kuasa Ogos tahun lalu, mereka sudah berjaya melindungi negara itu.
Bagaimanapun, pegawai dan penganalisis antarabangsa berkata risiko kebangkitan semula militan kekal dan kumpulan militan Islam mengaku melakukan beberapa serangan besar sebelum ini.