20 APR: Empat peguam pemerhati hadir pada perbicaraan kes penderaan remaja Sindrom Down dikenali Bella di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur hari ini.
Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman merupakan peguam-peguam yang dicadangkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Khidmat mereka turut mendapat persetujuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Sebelum ini, Tunku Ismail bertemu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun bagi membincangkan isu kes Bella dan mendapatkan taklimat mengenai langkah diambil kementerian terbabit.
Dalam pertemuan itu, Tunku Mahkota Johor mengemukakan tiga cadangan penambahbaikan bagi memastikan kes membabitkan Bella tidak berulang termasuk penambahbaikan undang-undang semasa seperti Akta Kanak-Kanak 2001 yang perlu dilakukan segera.
Kisah Bella didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, yang sedang dibicarakan mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia.