20 APR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK1) di sini bersama rakyat yang menjadi kebiasaan Seri Paduka Baginda pada bulan Ramadan.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke padang itu pada jam 6.30 petang diiringi oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama-sama anakanda Seri Paduka Baginda Berdua.
Menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda Berdua ialah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.
Sebelum berbuka, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga berkenan mencemar duli mengagihkan bubur lambuk yang dimasak di Istana Abdulaziz di sini kepada pengunjung bazar dan mereka yang berbuka di padang berkenaan.
Selain pengunjung bazar, sebahagian daripada 2,000 bekas bubur lambuk sentuhan Tunku Azizah itu juga diagihkan kepada warga Penjara Penor di sini, untuk dijadikan juadah berbuka.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga berkenan mencemar duli ke Bazar Ramadan Mahkota Square yang terletak bersebelahan padang itu untuk membeli juadah berbuka seperti sata, pulut panggang dan kuih-muih.
Peniaga Zaipa Ismail, 56, berkata beliau tidak menyangka Al-Sultan Abdullah berkenan ke gerainya untuk membeli pulut panggang, sata dan kuih lompat tikam yang juga gerai pertama dikunjungi Seri Paduka Baginda di bazar itu.
“Saya nampak orang berkerumun… lalu saya melaungkan nama juadah dan kuih yang ada untuk menarik perhatian mereka. Langsung saya tak sangka yang datang adalah Seri Paduka Baginda Berdua.
“Seronok akhirnya dapat bertemu Seri Paduka, cuma sikit terkilan kerana tidak teringat untuk memberi nasi dagang resepi keluarga yang juga juadah istimewa kami,” katanya yang sudah berniaga sejak lebih 10 tahun lalu.
Bagi Ahmad Tarmizi Barkawi, 26, kehadiran Al-Sultan Abdullah ke gerainya bagi membeli ayam goreng dan tauhu bergedil adalah yang pertama untuknya setelah empat tahun berniaga di bazar berkenaan.
Sementara itu, murid Tahun Enam, Syahzril Khan Sani Khan, 12, berkata Al-Sultan Abdullah sempat bertanya makanan kegemarannya semasa dia datang ke khemah khas untuk mengambil bubur lambuk.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam, di sini yang datang ke bazar bersama ibu bapanya berkata, dia pada mulanya malu untuk mengambil bubur itu, namun memberanikan diri kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu dengan Ketua Negara.
“Ayah juga meminta kebenaran untuk merakam gambar saya bersama Yang di-Pertuan Agong kerana mahu dijadikan kenangan memandangkan peluang seperti ini mungkin tidak akan berulang,” katanya. – BERNAMA