20 APR : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk melakukan siasatan terperinci punca tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri daripada pusat tahanan Sg. Bakap hari ini.
Setakat ini menurut beliau menerusi kenyataan di Facebook miliknya, seramai 382 tahanan telah ditahan semula oleh pihak PDRM dan semua agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalan Negeri (KDN) dikerahkan dalam operasi bersepadu bagi menahan semula kesemua tahanan yang melarikan diri.
“Kesemua 528 orang tahanan yang melarikan diri adalah merupakan pelarian etnik Rohingya yang telah dipindahkan daripada Kem Wawasan Langkawi setelah ditangkap mencerobohi perairan negara dan melanggar Akta Imigresen pada tahun 2020 lalu.
Dalam hal ini, saya menegaskan bahawa Malaysia adalah negara yang tidak mengiktiraf status pelarian dan keberadaan pelarian dalam negara adalah hanya atas dasar kemanusiaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk warga asing yang berada di dalam Malaysia mesti mematuhi undang-undang negara ini.
“Bagi memelihara kedaulatan dan kepentingan rakyat Malaysia, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara,” tegasnya.