20 APR : Seorang artis lelaki yang juga penyanyi sebuah kumpulan terkenal tanah air ditahan polis kerana disyaki memukul dan mencederakan bekas isterinya di sebuah kediaman di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam satu kenyataan hari ini berkata, suspek berusia 45 tahun ditahan di sebuah lokasi di Kota Damansara, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.
Menurut Mohamad Fakhrudin, tangkapan itu dibuat selepas polis daerah Petaling Jaya menerima aduan daripada seorang wanita berusia 27 tahun yang juga bekas isteri suspek berkaitan kejadian itu, semalam.
“Pengadu mendakwa dia berada di kawasan parkir kediaman bekas suaminya di Kota Damansara, kira-kira jam 2.29 petang untuk mengambil anak lelaki daripada artis terbabit. Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham kerana pengadu enggan bergambar dengan suspek menyebabkan suspek marah dan memukul badan pengadu menyebabkan lebam dan anggota badannya sakit,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dan suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan tahanan reman bagi siasatan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumahtangga 2017,” katanya.