20 APR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes tahanan Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau, di Alor Setar, yang meloloskan diri pagi tadi.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pasukan khas berkenaan akan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G Suresh Kumar melibatkan 13 pegawai dan anggota.
“Pasukan khas terbabit akan melakukan siasatan dan mengenal pasti apakah masalah ataupun elemen yang menyebabkan berlakunya kejadian tahanan melarikan diri daripada depot tahan tersebut.
“Selain itu, kita turut melancarkan Op Cantas yang turut membabitkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk mengesan tahanan masih bebas,” katanya pada sidang media di IPK Kedah, di Alor Setar hari ini.
Tambah beliau, sebanyak empat sekatan jalan raya (SJR) turut dilakukan di Bandar Baharu, empat lagi SJR Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan lima SJR di Kawasan Kulim bagi mengesan saki baki tahanan melarikan diri.
Katanya, setakat ini, seramai 357 tahanan berjaya ditahan semula hasil tindakan pantas dan makluman diterima, manakala seramai 171 individu termasuklah 12 kanak-kanak lelaki masih belum ditemui dan sedang diburu.
“Enam tahanan terdiri daripada dua lelaki serta dua wanita dewasa dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan ketika cuba melintas jalan,”katanya.
Dalam pada itu, katanya, tahanan yang masih bolos itu disifatkan berbahaya kerana mereka boleh melakukan apa saja untuk menyelamatkan diri termasuk menceroboh rumah penduduk.
“Kita khuatir kemungkinan akan wujud elemen jenayah dilakukan mereka, seperti menceroboh atau mencuri di rumah penduduk.
“Tidak mustahil mereka juga akan bertindak di luar kawalan demi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 147 KK.