21 APR: Dua beradik termasuk bayi perempuan berusia tujuh bulan maut dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Bandar Seri Iskandar, di Seri Iskandar, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, dua beradik terbabit berada di tingkat dua bangunan itu, sementara ibu bapa mereka bersahur di tingkat bawah.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso, berkata ketika kejadian, kedua-dua mangsa, Muhammad Fahmi Mohd Fazlan Nizam, 4, dan adiknya, Nor Fahmia berusia tujuh bulan terperangkap dalam sebuah bilik di rumah kedai terbabit.
“Bagaimanapun, dua beradik itu dapat dibawa keluar anggota bomba dan hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan kebakaran nyata pada tubuh mereka.
“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Barudin berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati lokasi kebakaran adalah bangunan kedai makan tiga tingkat.
Tingkat bawah premis itu menempatkan sebuah restoran tomyam, manakala tingkat dua dijadikan tempat tinggal pekerja dan tingkat tiga pula kosong.
Kebakaran berlaku di tingkat dua yang dilengkapi dua bilik yang menjadi tempat tinggal pekerja kedai.
“Kedua-dua mangsa adalah anak kepada pemilik restoran itu. Bedah siasat akan dijalankan bagi mengesahkan punca kematian mangsa,” katanya.