Ismail Sabri tunjuk komitmen terbaik kepada Sabah, Sarawak
21 APR: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sangat setia kepada kepemimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kerana beliau menunjukkan komitmen terbaik dalam usaha mengurangkan pelbagai jurang perbezaan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata ini antara lain dapat dilihat melalui usaha Perdana Menteri menaikkan status dua negeri itu menjadi sama taraf dengan Semenanjung.
“Ini satu pengiktirafan sangat penting kepada Sabah, yang mana kalau ikut perjanjian asal Perjanjian Malaysia 1963, kita adalah sama taraf dengan Semenanjung, dan PBRS sangat setia kepada Perdana Menteri yang telah menunjukkan komitmen terhadap kepentingan Sabah dan Sarawak.
“Kalau kita telah mencuba parti lain (sebagai kerajaan), tetapi sudah gagal, namun pemimpin BN (Barisan Nasional) juga yang berjaya, mestilah kita sokong BN dan perlu kita kekalkan sebagai kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PBRS Bahagian Tanjung Papat dan Sekong di Sandakan malam tadi.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Ketua Penaja PBRS Bahagian Sekong kepada Mohd Fazil Ajak dan Ketua Penaja PBRS Bahagian Tanjung Papat Alvis Loo Mun Yew, selain menerima 2,183 borang permohonan keahlian baharu parti itu.
Arthur berkata selain itu komitmen Ismail Sabri juga dapat dilihat melalui usahanya memastikan fasa pertama Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah disiapkan dalam tempoh lima tahun, yang amat dihargai PBRS serta rakyat Sabah amnya.
“Dengan komitmen itu, kerajaan akan lebih agresif dalam menyiapkan pembinaan infrastruktur lebuh raya yang akan melonjakkan lagi ekonomi negara, khususnya ekonomi Sabah ke peringkat lebih tinggi,” katanya. – BERNAMA