21 APR : Sekutu utama Presiden Vladimir Putin, Ramzan Kadyrov berkata, tentera Russia akan merampas kubu kuat terakhir penentangan di bandar Mariupol yang terkepung hari ini selepas Ukraine mencadangkan rundingan mengenai pemindahan tentera dan orang awam di situ.
Mariupol menjadi bandar terbesar yang akan dirampas Russia sejak menyerang Ukraine lapan minggu lalu dalam serangan yang mengambil tempoh lebih lama daripada jangkaan beberapa penganalisis tentera, menyaksikan lebih lima juta orang melarikan diri ke luar negara.
Ramzan yang juga merupakan Ketua Republik Russia-Chechnya, Azovstal akan berada di bawah kawalan sepenuhnya tentera Russia.
“Ia akan berlaku sebelum waktu makan tengah hari atau selepas makan tengah hari,” kata Ramzan yang bertempur kilang keluli Ukraine itu bersama tenteranya.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Ukraine tidak memberikan sebarang ulasan berhubung perkara berkenaan.
Beberapa orang awam berjaya meninggalkan pelabuhan tenggara yang mempunyai kedudukan strategik itu semalam di dalam konvoi bas kecil untuk melarikan diri daripada pertempuran paling sengit dalam perang itu, menurut saksi Reuters.
Seorang komander marin Ukraine, Serhiy Volny, berkata pejuang di kilang berkenaan mungkin tidak dapat bertahan lebih lama.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dilaporkan berkata, dianggarkan 1,000 orang awam masih berlindung di kawasan itu.
“Ukraine bersedia untuk ‘pusingan rundingan khas’ tanpa syarat bagi menyelamatkan tentera, orang awam dan kanak-kanak yang tercedera,” kata perunding Mykhailo Podolyak di Twitter.
Kyiv mencadangkan menukar tawanan perang Russia untuk laluan selamat bagi orang awam dan tentera yang terperangkap. Tidak diketahui sama ada Russia sudah bertindak balas terhadap tawaran rundingan khas itu.
Ukraine setakat ini menahan beribu-ribu serangan tentera Russia yang cuba mara dalam apa yang Kyiv gelar Pertempuran Donbas, kempen baharu untuk merampas dua wilayah timur yang didakwa Moscow bagi pihak pemisah.