PASLeak: Ismail Sabri enggan ulas, tidak pasti kesahihannya
22 APR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob enggan mengulas lanjut mengenai kebocoran dokumen minit mesyuarat yang didakwa milik PAS kerana tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Kita pun tidak tahu dokumen itu betul atau tidak,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan selepas pelancaran buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, empat keping tangkap layar mengenai percaturan politik PAS antaranya menyentuh mengenai campur tangan dalam urusan mahkamah, menjadi tular di media sosial.
Dokumen tersebut diklasifikasikan sebagai sulit itu dipercayai merupakan minit mesyuarat PAS yang diwakili oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, dokumen didakwa sebagai PASLeak itu disifatkan sebagai cubaan pihak tertentu yang mahu memecahbelahkan muafakat antara parti politik Melayu.
Beliau yang menafikan kesahihan isi kandung dokumen PASLeak itu berkata, ia juga perbuatan pihak yang mahu mengaut ‘keuntungan’.
“Dia orang tak ada kerja lain la tu. Orang tak ada kerja lain nak bagi laku berita, berita pun nampak tak berapa nak laku.
“Yang keduanya, kadang nak bagi laku (saluran) YouTube dia supaya orang bayar.
“Yang ketiga, nak mematahkan muafakat dalam kalangan parti politik Melayu kita, dalam kalangan Muafakat Nasional Perikatan Nasional,” katanya.