22 APR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berharap penyebar dokumen sulit dikenali sebagai PasLeak menerima balasan setimpal dengan perbuatan itu.
Katanya, PAS tidak akan melayan isu penularan dokumen itu malah menyifatkan ia sebagai surat layang yang sengaja ditularkan bagi memburukkan imej dan menfitnah parti tersebut.
“Surat layang ni kita tak tahu siapa yang buat. Sebab itulah dipanggil surat layang. Cuma dia tanggunglah dengan Tuhan. Kita orang Islam percaya kan…bulan puasa pula,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila di Marang hari ini.
Hadi berkata, hanya golongan loyar buruk yang berminat untuk melayan surat layang berkenaan.
“Tiada keperluan PAS dan saya untuk membuat penafian selepas penjelasan sudah diberikan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kelmarin.
“Masalahnya siapa yang buat surat itu pun kita tak tahu, jadi tiada guna kita duk layan (melayan) surat layang ini, nanti kita sama-sama melayang,” katanya.
Mengenai laporan polis dibuat oleh peguam Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Abdul Hadi berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berhak membuat laporan polis, tetapi PAS kekal dengan pendirian untuk tidak melayan isu itu.
Namun, secara sinis Abdul Hadi berkata hanya “loyar buruk” saja yang melayan surat layang.
“Saya rasa hanya yang loyar buruk sahaja yang melayan surat layang ni, kerana dari segi undang-undang pun tidak lekat,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial beberapa keratan didakwa minit mesyuarat PAS yang merancang untuk menjatuhkan UMNO dan BN termasuk rancangan menyegerakan usaha untuk memasukkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi ke penjara.
Beberapa nama pemimpin UMNO termasuk Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dikaitkan dengan gerakan menjatuhkan UMNO, BN.
Bagaimanapun Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu yang turut dikaitkan dengan perkara itu, kelmarin menyifatkannya sebagai ‘dokumen sampah’ dan tidak perlu dipercayai kerana dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.