Kos haji naik: TH perkenal 2 kadar bayaran
22 APR: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan dua kadar bayaran haji kepada bakal jemaah tahun ini iaitu sebanyak RM1,000 dan RM3,000 seorang bergantung kepada kategori pendapatan masing-masing.
Bayaran sebanyak RM10,980 perlu dibayar oleh jemaah daripada golongan B40 iaitu peningkatan sebanyak RM1,000 manakala bayaran sebanyak RM12,980 dikenakan bagi jemaah bukan B40 iaitu melibatkan peningkatan sebanyak RM3,000.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata kenaikan bayaran haji tahun ini tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan beberapa kos.
“Ia termasuk faktor inflasi, pelbagai cukai terutamanya Cukai Nilai Tambah (VAT) dan caj visa haji serta perlindungan insurans untuk jangkitan COVID-19 yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.
“Kadar VAT di Arab Saudi dinaikkan daripada lima kepada 15 peratus, sekali gus menjadi faktor utama kenaikan kos haji lebih RM2,500 untuk seorang jemaah haji Muassasah,” katanya dalam sidang media khas di Menara TH hari ini.
Amrin menjelaskan bahawa TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji untuk tahun ini dan memperkenalkan pendekatan secara bersasar.
Bantuan Kewangan Haji ini adalah selari dengan usaha TH untuk memastikan kebajikan jemaah haji Malaysia kekal terjamin.
“Berdasarkan kuota haji rasmi tahun yang telah diturunkan kepada sekitar 45 peratus oleh kerajaan Arab Saud seperti diumumkan Menteri (Hal Ehwal Agama) semalam, TH dijangka membelanjakan RM150 juta bagi menampung sebahagian kos menunaikan ibadat haji tahun ini melalui Bantuan Kewangan Haji,” katanya.