22 APR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam, hari ini, bagi memulakan lawatan dua hari ke Melaka.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua menggunakan pesawat khas pada jam 11.25 pagi tadi disambut kenamaan utama negeri diketuai Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Asmah Ab Rahman.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bersama isteri, Datin Seri Munira M Yusop, turut hadir bagi upacara sambutan ketibaan itu.
Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari; serta barisan EXCO kerajaan negeri turut hadir bagi upacara sambutan ketibaan itu.
Pada sebelah tengah hari, Al-Sultan Abdullah berangkat tiba untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Selat.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 1.06 tengah hari disambut Mohd Ali dan Sulaiman.
Yang turut hadir menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat.Kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Ustaz Mohd Fezwan Mohamad dengan khutbah bertajuk ‘Memburu Kelebihan 10 Malam Terakhir Ramadan’.
Seterusnya, Seri Paduka berdua dijadualkan berkenan mencemar duli mengunjungi bazar Ramadan Peringgit sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Al-Azim.
Pada keesokan hari, Seri Paduka berdua dijadualkan berkenan hadir ke majlis menghadap ahli-ahli majlis agama Islam Melaka. –BERNAMA