22 APR: Bayaran bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Mei 2022 akan dikreditkan kepada penerima mulai 25 April hingga 30 April ini.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan bayaran bantuan bulanan itu dipercepatkan sempena Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.
Bayaran bantuan bagi Jun 2022 akan dikreditkan pada tarikh asal iaitu antara 1 Jun hingga 10 Jun, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
KPWKM turut menyenaraikan bantuan yang boleh dimohon orang ramai antaranya, Bantuan Suri Rumah RM480 yang telah bermula sejak 2019. Selain itu, bantuan kematian turut disediakan dalam insentif i-Suri sebanyak RM2,500.
Tambah kenyataan itu, Bantuan Kanak-Kanak (BKK) 2022 turut diberikan khas untuk membantu keluarga, penjaga dan anak-anak untuk terus hidup dan mendapat penjagaan yang sewajarnya.
Jumlah bantuan itu telah meningkat kepada RM1,000 berbanding RM450 sebelum ini manakala Bantuan Warga Emas atau Bantuan Kebajikan Warga Emas juga akan dinaikkan daripada RM350 kepada RM500 seorang.