22 APR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama menghargai dan menghayati keindahan bumi, selain membudayakan gaya hidup lestari dan memelihara alam sekitar.
Dalam catatan di Facebook Istana Negara hari ini, bersempena sambutan Hari Bumi 2022, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Bumi 2022 kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya pembangunan di Malaysia dapat dilaksanakan secara mampan agar tidak berlaku bencana yang menjejaskan rakyat.
Seri Paduka Baginda turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Baginda mendoakan agar Malaysia sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah.
“Selamat Menyambut Hari Bumi 2022,” menurut catatan itu.
Turut menzahirkan ucapan itu adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi poster yang dimuat naik bersama catatan itu.