22 APR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan lima kematian baharu akibat COVID-19 termasuk empat kes kematian di luar hospital (BID) semalam.
Menurut laman sesawang COVIDNOW, ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini disebabkan oleh virus berkenaan adalah sebanyak 35,470 manakala kategori BID pula, jumlah keseluruhan adalah sebanyak 7,509 kes.
Laporan berkenaan turut memaklumkan bahawa purata sebanyak lima orang daripada sejuta populasi kematian akibat COVID-19 di negara ini direkodkan bagi tempoh dua minggu lepas.
Putrajaya menjadi negeri tertinggi purata kematian setakat ini dengan purata 17 kematian, diikuti Perak (11) dan Kedah (10).
KKM turut merekodkan 5,899 kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 4,415,101.
Dalam masa yang sama, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 52.7 peratus dan penggunaan alat bantuan pernafasan sekitar 31.4 peratus.