22 APR: Pada pagi semalam, saya ditemubual oleh wakil CNA tentang politik negara semenjak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Saya maklumkan bahawa kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan adalah kerana kegagalan mereka sendiri.
PH terlalu percaya kepada propaganda sendiri sehingga menjejaskan kebolehan mereka untuk mengurus tadbir negara.
Pendekata, kerajaan PH jatuh kerana kelemahan sendiri dan ini menjadi punca kekalahan mereka secara bersiri pada pilihan-pilihan raya kecil yang berlaku selepas PRU14.
Ia bukannya konspirasi UMNO tapi kejayaan politik UMNO itu telah mencetuskan konspirasi di kalangan pemimpin-pemimpin PKR dan PPBM untuk tinggalkan kerajaan PH.
Pelan A adalah untuk Tun Mahathir Mohamed kekal sebagai Perdana Menteri (PM) tapi beliau ingin menubuhkan ‘kerajaan perpaduan’nya sendiri.
Ini tidak diterima olih PPBM dan bekas PKR. Maka, berlakulah Pelan B, dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM.
Di mana Datuk Seri Najib Razak, dalam segala ini? Saya ditanya. Saya jawab, Najib patuh kepada keputusan parti yang bersetuju menyertai kerajaan kepimpinan Muhyiddin.
Macam mana Najib boleh kekal popular dengan penjenamaan baharunya, ‘Bossku’. Disambut dengan meriah semasa kempen pilihan raya, terutama masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor.
Adakah pengaruh Najib suatu yang kritikal bagi UMNO dan BN? Jawapan saya mudahnya. Ramai yang terpegun melihat ketabahan Najib berdepan dengan berbagai tuduhan di berbagai mahkamah dan juga dakwaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), beliau kena bayar cukai berbilion ringgit.
Satu keluarga terkena tekanan. Tambah pula dengan tuntutan sivil! Ianya ‘overkill’, saya kata. Dan bila ‘overkill’, boleh membawa kepada perasaan kasihan – ‘sympathy’ – dan boleh bertukar kepada ’empathy’.
Kedua, halaman Facebook (FB) Najib telah membawa pandangan dan penjelasan darinya tanpa sekatan atau suntingan seperti berlaku di media urus perdana. FB ialah media yang paling demokratik dan tidak dikawal oleh kepentingan-kepentingan tertentu.
Mereka yang ikut halaman FB Najib adalah kerana fakta dan hujahan munasabah di halaman itu. Sehingga ia lebih berkesan dari bercakap dalam Dewan Rakyat. Kerana di dalam dewan itu, walaupun Parlimen ialah institusi tertinggi demokrasi, tapi berbagai pihak boleh berpakat untuk memperlekehkan hujahan Najib.
Sebaliknya, di dunia FB, ianya bergantung pada jumlah yang bersetuju dengan dengan fakta dan asas hujahan. Itu – fakta dan hujahan berasas – yang membuat Najib popular dan berpengaruh.
Ketiga, ramai yang merasa secara langsung manfaat dari kepimpinan Najib dan BN sebelum PRU-14. Mereka tahu masa itu lebih baik dari masa selepas PRU-14.
Sehingga kini, masih terpakai konsep bantuan bersasaran dan konsep kumpulan sosioekonomi B40, M40 dan T20.
Konsep sepadu, UTC, masih menjadi tumpuan. Klinik 1Malaysia dirindui. Begitu juga Pusat Komputer 1Malaysia. Terlalu banyak peninggalan Najib yang bermanfaat kepada rakyat yang tidak dapat dilupuskan oleh Tun Mahathir, DAP dan PKR atau oleh PN sendiri.
Sebab itu, ramai yang mengenang jasanya. Kritikal pada UMNO dan BN? Membantu, saya jawab. Dan pendirian Najib yang tetap bersama parti – UMNO dan BN – pastinya membantu.
Dan menjadi inspirasi kepada ahli-ahli parti apabila melihat seorang pemimpin yang sedang dilanyak begitu hebat tapi tetap bersemangat mempertahankan parti.
Tak sepatah pun meminta pertolongan dari parti tapi tanpa sepatah tetap menolong parti. Masa depan? Itu saya tidak mampu nak jawab.
Oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad