23 APR : Pakistan menolak tuduhan bekas Perdana Menteri, Imran Khan bahawa Amerika Syarikat (AS) berkomplot menjatuhkan kerajaannya melalui undi percaya di Parlimen.
Imran, 69, yang memimpin negara Asia Selatan bersenjata nuklear dan mempunyai 220 juta penduduk itu selama tiga setengah tahun, menuduh Washington menyokong konspirasi untuk menyingkirkannya, memandangkan beliau sebelum ini melawat Moscow, yang bertentangan dengan nasihat AS.
Bagaimanapun Washington menafikan tuduhan itu.
Bekas duta Pakistan ke AS, Asad Majeed, yang menulis satu kabel kepada Islamabad berhubung pandangan Washington terhadap lawatan Imran ke Moscow, memberi taklimat kepada pemimpin awam dan tentera pada forum yang dipanggil Jawatankuasa Keselamatan Negara (NSC).
“NSC selepas mengkaji kandungan komunikasi, penilaian yang diterima dan kesimpulan yang dikemukakan agensi keselamatan, membuat kesimpulan yang tidak ada konspirasi,” kata satu kenyataan dari pejabat Perdana Menteri baharu, Shehbaz Sharif.
Ia berkata, agensi perisik utama negara itu memaklumkan kepada NSC mereka tidak menemukan bukti yang menyokong mana-mana teori konspirasi.
Pemimpin yang digulingkan itu bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin pada 24 Februari lalu, iaitu hari tentera Russia menyerang negara jirannya, Ukraine.
Imran pada mulanya menyekat tindakan untuk mengadakan undi tidak percaya itu dan mengatakan NSC menyokong konspirasi yang didakwa itu.
Parti pembangkang dan penganalisis berkata, tentera membantu Imran memenangi pilihan raya pada 2018, yang mana kedua-duanya dinafikan, namun sokongan itu merosot selepas berlaku perselisihan mengenai pelantikan ketua perisikan negara berikutnya, lewat tahun lalu.
Imran menguar-uarkan mengenai dakwaan konspirasi itu dalam tiga perhimpunan awam besar yang diadakannya sejak beliau digulingkan. Beliau menuntut pilihan raya mengejut di mana pilihan raya Parlimen akan datang adalah pada 2023.