23 APR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meluangkan masa menziarahi remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Seremban hari ini.
Menurutnya, beliau mengambil serius isu Bella dan Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuat intervensi menyelamatkan Bella dengan membawa keluar dari rumah jagaan terlebih dulu.
“Rumah jagaan baru di Seremban telah menjaga Bella dengan baik. Hari ini saya bertemu Bella, Bella sudah pulih seperti sediakala, berkeyakinan tinggi untuk bergaul dengan rakan-rakan.Terima kasih kepada kakitangan pusat jagaan di Seremban ini,” ujarnya menerusi catatan di Facebook miliknya.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Kata Ismail Sabri lagi, kes seperti Bella merupakan antara banyak kes yang mungkin berlaku tetapi tidak dilaporkan, bukan sahaja isu penderaan tetapi juga isu anak yatim yang dihantar ke rumah anak yatim tidak mempunyai dokumen seperti sijil kelahiran dan lain-lain.
“Banyak pusat-pusat jagaan yang tidak didaftarkan dan menyukarkan pemantauan. Bagi penyelesaian tuntas, Kabinet telah memutuskan membentuk JK Kabinet Melindungi Kumpulan Rentan seperti kanak-kanak, OKU, warga emas serta wanita.
“Saya sendiri akan mempengerusikan JK Kabinet ini.Kerajaan akan melihat secara menyeluruh seperti pendaftaran pusat jagaan, mempermudahkan pendaftaran dan pindaan akta lapuk mengeluarkan sijil kelahiran malah termasuk penstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya.