23 APR : Tiga prosedur operasi standard (SOP) utama yang diguna pakai sejak negara dilanda pandemik COVID-19 dijangka akan dilonggarkan membabitkan SOP berhubung pemakaian pelitup muka di tempat awam, mengimbas kod QR MySejahtera dan keperluan menjalani ujian saringan pantas antigen (RTK-Ag) di lapangan terbang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mengumumkan sama ada SOP berkenaan perlu diteruskan atau sebaliknya dalam masa terdekat, di mana tiga perkara terbabit sedang diteliti dan dibincangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Ada tiga perkara besar, saya tidak pasti bila ia akan diumumkan, namun KKM sedang berbincang serta bermesyuarat mengenai pelitup muka, MySejahtera dan sama ada perlu melakukan ujian PCR/RTK sebaik saja tiba di lapangan terbang atau ketika memasuki pusat beli-belah atau mana-mana tempat awam.
“Tunggulah, kita akan umum. Kita doakan berita gembira,” katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah pusat perlindungan kanak-kanak, Seremban hari ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak bercadang untuk kembali mengetatkan SOP, sebaliknya kelonggaran akan diberikan dari semasa ke semasa.
Beliau yakin, perkara itu menggembirakan rakyat kerana kerajaan tidak bercadang untuk kembali mengetatkan SOP, sebaliknya kelonggaran akan diberikan dari semasa ke semasa, tetapi pada masa sama, ada yang bimbang sekiranya terlalu bebas.
“Itulah sebabnya perlu seimbangkan. Jika kita terlampau bebas, rakyat takut tetapi seperti yang saya kata, kerajaan tidak akan mengundur ke belakang, sebaliknya memberi kelonggaran dari semasa ke semasa.
“Sekarang, kita sudah boleh balik kampung untuk beraya dan sebagainya tetapi masih perlu memakai pelitup muka walaupun tiada lagi penjarakan fizikal seperti dulu yang menyebabkan tindakan boleh diambil jika ia dilanggar,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan lebih banyak kelonggaran SOP yang diguna pakai sejak negara dilanda COVID-19, dijangka diumumkan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dipetik berkata kejayaan pengurusan COVID-19 di negara ini menyaksikan jangkitan wabak itu semakin terkawal, selain penurunan kemasukan kes ke hospital.