24 APR: Pembentukan jawatankuasa bersama antara UMNO Johor dan kerajaan negeri bukan sesuatu yang luar biasa.
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata ia bagi mewujudkan kerjasama berkesan dalam pentadbiran negeri, sekali gus bakal memantapkan fahaman dan kerjasama berasaskan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Barisan Nasional (BN) atau ‘Ikhtiar Johor’ di antara parti dan kerajaan dengan rakyat.
“Suatu yang luar biasa kini sudah menjadi biasa. Keadaan yang sama berlaku di Melaka selepas PRN pada November 202 dan kini ia juga terjadi Johor sesudah PRN Johor pada Mac lalu.
“Keadaan yang luar biasa sudah menjadi biasa dalam tempoh tujuh bulan sahaja semenjak Ogos tahun lalu,” katanya di Facebooknya hari ini.
Semalam, UMNO Johor dalam mesyuarat dipengerusikan Datuk Seri Hasni Mohammad dan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai ahli lantikan, telah membentuk sebuah jawatankuasa bersama antara parti dan kerajaan.
Dalam hantaran di Facebooknya hari ini, Shahrir berkata, sejak Ogos 2021, akar umbi UMNO telah berdepan dengan keadaan di mana adanya perbezaan di antara kepemimpinan parti dengan kerajaan, iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga bukanlah Perdana Menteri (PM).
Katanya, ia bermula dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Mac 2019 mengangkat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat selepas Ahmad Zahid bercuti daripada tugas presiden untuk mententeramkan keadaan dalaman parti.
“Selepas ‘Langkah Sheraton’ dan persetujuan kepimpinan parti untuk menyokong dan menyertai kerajaan pusat yang baharu, Datuk Seri Ismail Sabri terus mengisi jawatan baharu selaku menteri kanan dalam kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Untuk meredakan ketegangan antara kepimpinan UMNO dengan kerajaan pimpinannya,Tan Sri Muhyiddin ketika itu telah melantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan MKT UMNO turut menerima kedudukan baharu Ismail Sabri itu.
“Namun apabila Muhyiddin gagal pula mendapat sokongan pembangkang secara Memorandum Persefahaman (MoU) Keyakinan untuk mengukuhkan kedudukannya di Dewan Rakyat, Ismail Sabri pula mengambil alih jawatan PM sebagai calon tunggal UMNO dan BN,” katanya.