24 APR: Kerajaan membenarkan pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand selepas penularan penyakit ‘Lumpy Skin Disease’ (LSD) yang dilaporkan di lebih 41 wilayah di negara itu dimansuhkan pada 15 Mac lalu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata pemansuhan larangan itu disertakan beberapa syarat ketat terhadap pihak berkuasa Thailand sebelum ternakan itu dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia.
Antara syarat terbabit, katanya, lembu dan kerbau yang dibenarkan dibawa masuk perlu dikuarantin selama 35 hari di fasiliti kuarantin bagi lembu ternakan dan tenusu, manakala 28 hari bagi lembu sembelihan.
Selain itu, beliau berkata, ternakan dari negara itu juga perlu dipastikan tiada jangkitan penyakit kuku dan mulut (FMD), ‘tuberculosis’ serta LSD jika mahu diimport.
“Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan mengesahkan ternakan itu bebas daripada sebarang penyakit sebelum dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia. Jika haiwan disahkan dijangkiti LSD, FMD serta Tuberculosis, tidak akan dibenarkan masuk.
“Kita perlu memastikan kesihatan pengguna serta ternakan lain tidak terdedah kepada penyakit,” katanya ketika ditemui media selepas Festival Kuih Tradisional peringkat negeri Melaka di pekarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, di Melaka hari ini.
Malaysia menghentikan serta-merta import lembu dari Thailand pada 7 Jun 2021 selepas kebanyakan lembu yang diternak di negara berkenaan disahkan dijangkiti LSD yang mungkin boleh memudaratkan jika dibawa masuk ke negara ini.
Jumaat lalu, Thailand dilaporkan sedia membekal semula lembu ke negara ini dengan mematuhi semua peraturan dan prosedur import ditetapkan JPV Malaysia, khususnya untuk ibadah korban menjelang Aidiladha pada Julai nanti.