24 APR: Kerajaan telah membenarkan satu perbincangan mengenai kelulusan penanaman ketum dan hemp bagi tujuan perubatan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata Kabinet tidak mempunyai halangan dan sudah memberikan kebenaran dilakukan pihaknya yang mewakili Parlimen Padang Besar dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung kelulusan tanaman berkenaan bagi tujuan perubatan.
“Lampu hijau’ ke arah perbincangan itu sudah diberikan minggu lalu dan kita yakin selepas proses (perbincangan) itu selesai, Kabinet dapat meluluskan penanaman ketum dan hemp ini tidak lama lagi.
“Perkembangan ini sebenarnya baik terutama kepada mereka yang terbabit dalam bidang perubatan, tetapi kelulusan akan diperoleh ini kelak bukan untuk minum air ketum sesuka hati, sebaliknya untuk perubatan saja.
“Masyarakat juga diharap tidak salah faham apabila kelulusan penanaman daun ketum diterima, ia bukan untuk kegunaan sendiri seperti minum, sebaliknya kedua-dua tumbuhan ini iaitu ketum dan hemp mendapat permintaan tinggi di luar negara,” katanya dalam satu majlis anjuran UMNO Parlimen Padang Besar di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di Kangar, hari ini.
Zahidi berkata, kebenaran menanam ketum ini dilihat dapat membantu masyarakat luar bandar meningkatkan taraf hidup kerana prosesnya mudah.
“Jika dikaji, ketum hanya memerlukan angin, matahari dan tanah, ia tidak perlukan baja selain mempunyai permintaan tinggi di luar negara.
“Pada masa sama, hemp pula adalah tanaman alternatif yang boleh digunakan untuk perubatan. Secara alternatifnya, hemp adalah sebahagian daripada program kredit karbon yang mana ia boleh menukar karbon dioksida kepada oksigen sebanyak tiga kali ganda,” katanya.