25 APR: Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 membabitkan pembayaran RM429.5 juta kepada 827,066 anggotanya.
Pembayaran dividen yang mula diagihkan hari ini itu adalah lebih tinggi berbanding 13 peratus yang diumumkan bagi tahun kewangan 31 Disember 2020.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata Bank Rakyat masih lagi mengekalkan prestasi kadar dividen berjumlah dua angka untuk tempoh 23 tahun.
“Syabas dan tahniah atas pencapaian dan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Bank Rakyat setelah hampir lebih dua dekad.
“Saya berharap dengan penerimaan dividen ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi anggota dalam mengharungi pandemik COVID-19 di samping membantu anggota dalam membuat persiapan hari raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman dividen Bank Rakyat dan prestasi kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, di ibu negara, hari ini.
Mengenai unjuran pemberian dividen bagi tahun kewangan 2022, Noh berkata, Bank Rakyat akan terus mengekalkan prestasinya untuk memberikan dividen yang lebih baik.
Beliau berkata, Bank Rakyat terus mengekalkan prestasi kadar dividen dua angka dengan dividen diberikan pada 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2020 dengan masing-masing 15 peratus, 16 peratus, 13 peratus, 14 peratus dan 13 peratus.
Katanya, prestasi kukuh itu adalah hasil daripada komitmen Bank Rakyat untuk merealisasikan mandat yang dipertanggungjawabkan bagi memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya.
“Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap keperluan anggotanya yang mana 30 peratus penerima individu terdiri daripada golongan B40, manakala 20 peratus penerima anggota koperasi terdiri daripada golongan B40,” katanya.
Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 adalah sebanyak RM1.63 bilion dan keuntungan bersih sebanyak RM1.86 bilion.
Keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi itu dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras, walaupun ketidaktentuan ekonomi akibat COVID-19.
Selain itu, Kumpulan Bank Rakyat turut meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM32.30 juta disumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus bersamaan RM16.15 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.
Jumlah sumbangan bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM48.45 juta.