26 APR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tiada kuasa untuk menyekat serta-merta klip video raya oleh usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara tersebut hanya boleh dilakukan apabila siasatan lengkap dan mendapat perintah mahkamah.
“Kalau kita sekat dahulu, orang boleh saman kita. Kalau mahu sekat, perlu berdasarkan kepada undang-undang.
“Kementerian tidak boleh sekat. Yang boleh buat keputusan sekat adalah mahkamah. Kementerian hanya melaksana.
“Kalau menteri boleh sekat. Saya hari-hari ada benda nak sekat. Tapi kena ikut undang-undang. Dia ada kaedah,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa bersama media di Kuala Lumpur hari ini.
Tambah beliau, sekiranya sesuatu perkara tersebut tidak dapat dibuktikan menyalahi undang-undang, tiada tindakan yang akan diambil.
“Hanya kalau melanggar undang-undang, baru akan ada tindakan yang boleh dibuat. Kalau tiada, kita tidak boleh buat sesuatu atas dasar ikut suka,” ujarnya.
Beliau mengulas isu rakaman video Aidilfitri Aliff Syukri yang hadir memberi keterangan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya, pagi tadi.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.