26 APR : Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin akan mengadakan pertinemuan bersama lebih 40 negara hari ini, bagi membincangkan usaha membantu pertahanan Ukraine berdepan serangan Russia di kawasan timur negara itu.
Pengerusi Ketua Turus Bersama Jeneral Tentera AS, Mark Milley, berkata matlamat rundingan itu terarah kepada usaha menyelaras dan menyeragamkan bantuan keselamatan kepada Kyiv, termasuk bekalan senjata berat seperti meriam howitzer, dron dan peluru.
Selepas gagal dalam pertempuran dengan tentera Ukraine di bahagian utara Kyiv, Moscow mengatur serangan dengan menyusun semula penempatan tenteranya di bahagian timur bagi melancarkan serangan darat di dua wilayah dikenali sebagai Donbas.
Pegawai AS yang enggan namanya disiarkan berkata, Russia dijangka meletakkan kebergantungan terhadap serangan darat menggunakan meriam, demi menyekat kedudukan tentera Ukraine.
Bagaimanapun, AS mengunjurkan bahawa kekuatan tentera Russia kini berdepan penyusutan ketara, dengan sesetengah bahagian mengalami pengurangan anggota menjangkau 30 peratus – suatu paras yang dianggap tentera AS sebagai terlalu sukar untuk terus berjuang.
Rundingan di pangkalan udara dekat barat daya Frankfurt itu dijangka diadakan selepas beberapa bulan bergelut dengan kemasukan pelarian Afghanistan berikutan rampasan kuasa didalangi Taliban di negara terbabit pada musim panas lalu.