Polis akan panggil semua nama dalam ‘Pasleak’
26 APR : Nama individu yang disebut dalam satu minit mesyuarat dirujuk sebagai dokumen ‘PASleak’ yang memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan dua pemimpin PAS akan dipanggil pihak polis dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut bila tarikh dan masa ahli politik berkenaan akan dipanggil tampil untuk membantu siasatan.
,Azmi berkata, pihaknya sudah pun memulakan siasatan terhadap kes berkenaan.
“Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan memanggil semua ahli politik yang dinamakan dalam dokumen tersebut bagi membantu siasatan.
“Setakat ini apa yang boleh saya nyatakan adalah individu yang berkaitan untuk membantu siasatan akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Menara TM, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad, menyifatkan penyebaran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Pas adalah cubaan meretakkan hubungan antara parti-parti Melayu.
Menurutnya, tindakan tersebut merupakan suatu perbuatan tidak bertanggungjawab.
Idris memaklumkan tindakan menyebarkan tangkap layar dokumen tersebut juga dilihat bagi meraih perhatian rakyat.
Pada hari yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, enggan mengulas lanjut mengenai kebocoran dokumen minit mesyuarat yang didakwa milik Pas.
Beliau berkata dokumen empat muka surat yang tular Rabu lalu tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Sebelum ini, empat keping tangkap layar mengenai percaturan politik PAS, antaranya menyentuh mengenai campur tangan dalam urusan mahkamah, menjadi tular di media sosial.
Dokumen yang didakwa diklasifikasikan sebagai sulit itu, didakwa minit mesyuarat PAS yang diwakili oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.