27 APR : Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal sihat untuk separuh pertama 2022 dengan jangkaan pembetulan kecil pada separuh kedua 2022 apabila pengeluaran MSM diunjurkan meningkat.
Hap Seng Plantations Holdings Bhd berkata, pengeluaran minyak sawit menunjukkan tanda pemulihan pada suku pertama 2022 walaupun berlakunya hujan lebat dan banjir yang menjejaskan aktiviti penuaian dan pemprosesan, khususnya di Sabah.
“Bagaimanapun, kumpulan itu menjangkakan tekanan kos meningkat berikutan peningkatan kos baja dan bahan api, ditambah dengan kenaikan gaji minimum berkuat kuasa Mei 2022,” katanya dalam Laporan Tahunan 2021 kumpulan.
Syarikat itu berkata, industri minyak sawit Malaysia merekodkan harga MSM tertinggi sepanjang masa melebihi RM8,000 satu tan pada suku pertama 2022 disebabkan gangguan dalam bekalan minyak makan pesaing serta diburukkan lagi oleh ketegangan geopolitik semasa.
Harga MSM, terus meningkat, didorong oleh pengeluaran yang lebih rendah dan permintaan yang kian bertambah berikutan pemulihan ekonomi global.
Hap Seng Plantations berkata, prospek kumpulan itu kebanyakannya bergantung kepada faktor makroekonomi domestik dan global yang mempengaruhi pasaran minyak sawit seperti keadaan cuaca di negara pengeluar biji minyak, dasar kerajaan terhadap biodiesel dan corak tanaman bermusim buah tandan segar.https://d0e837b0f56a38a94d0a9f8fc7bd0fd1.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html
Kumpulan itu turut meramalkan pengeluaran minyak sawit Malaysia mencecah hampir 19 juta tan tahun ini.
Ia menambah, perubahan baru-baru ini dalam struktur cukai eksport dan dasar minyak masak domestik di Indonesia kemungkinan akan mengalihkan permintaan untuk MSM dari Indonesia ke Malaysia.-BERNAMA