27 APR: Kerajaan Johor memberikan cuti kelepasan am pada Isnin ini bersempena Aidilfitri kepada semua jabatan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan negeri.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata keputusan itu dibuat selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan pada hari ini bersetuju mengisytiharkan Isnin depan sebagai hari cuti khas peristiwa dan ia turut terpakai kepada semua syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta di negeri itu.
“Semoga kita semua beroleh manfaat daripada cuti perayaan bagi bersama-sama keluarga, sanak saudara serta rakan taulan meraikan hari lebaran.
“Rancanglah perjalanan anda dengan baik agar sentiasa lancar dan selamat ke destinasi masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Onn Hafiz berkata, keputusan itu mengambil kira beberapa perkara yang memudahkan perancangan rakyat negeri ini untuk menyambut Aidilfitri setelah dua tahun tidak dapat meraikannya.
“Ia juga bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan risiko kemalangan jalan raya pada Isnin sebelum perayaan bagi mereka yang bekerja dan tergesa-gesa untuk pulang menyambut hari perayaan.
“Di samping meningkatkan motivasi dan kebajikan kepada pekerja dengan memberi cuti lebih awal. Ia juga memberi kemudahan kepada ibu bapa bagi menguruskan anak anak yang tidak bersekolah dan masih kecil kerana pusat penjagaan kebanyakannya akan ditutup pada tarikh berkenaan,” katanya.
Aidilfitri dijangka disambut pada Selasa ini yang juga cuti umum, bersambung cuti umum hari kedua Syawal pada 4 Mei, manakala Ahad sebelum itu adalah sambutan Hari Pekerja.
Bagaimanapun, cuti hujung minggu di Johor adalah pada Jumaat dan Sabtu, justeru tidak terbabit dengan cuti gantian pada 2 Mei.