27 APR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat digalakkan untuk terus berhati-hati kerana virus COVID-19 masih wujud di sekeliling ketika banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 diberikan.
“Kelonggaran semakin banyak diberikan, tapi jangan kita menganggap tidak ada lagi bahaya di sekeliling. COVID-19 masih ada dan kita tiada pilihan terpaksa hidup bersama COVID-19, oleh itu perlu berhati-hati,” katanya kepada media selepas majlis iftar bersama petani, nelayan dan penternak di Seri Perdana malam ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan beberapa kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 berkuat kuasa 1 Mei antaranya pemakaian pelitup muka di luar bangunan akan menjadi pilihan bukan lagi satu kewajipan, selain tidak wajib mengimbas aplikasi MySejahtera untuk memasuki premis.
Ismail Sabri berkata, walaupun kelonggaran diberikan, tetapi ‘kebebasan’ itu tidak bermakna rakyat tidak lagi perlu melakukan kawalan kendiri bagi melindungi keluarga, diri sendiri dan masyarakat.
“Walaupun bebas di kawasan terbuka, tapi jika berada di kawasan sesak, saya galakkan pemakaian pelitup muka walaupun tidak menjadi kesalahan, jika tidak memakai bagi menjaga kepentingan diri serta keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, sebagai contoh aktiviti ziarah tanah perkuburan di pagi raya biasanya menyaksikan ramai orang manakala solat sunat Aidilfitri pula sudah tiada halangan dari segi penjarakan, oleh itu pemakaian pelitup muka amat digalakkan walaupun bukan menjadi kesalahan. – BERNAMA